|
Aplikasi |
Di dalam perniagaan takaful,
pemahaman dari maksud ini merupakan satu agenda yang penting.
Ianya diterapkan kepada semua peserta yang mengambil
perlindungan takaful untuk berniat ikhlas bagi saling
jamin-menjamin di kalangan mereka ketika ditimpa musibah.
Secara amnya, objektif dalam industri takaful sebenarnya
mempunyai persamaan dengan industri insurans konvensional.
Kedua-duanya merupakan instrumen untuk membantu golongan yang
tidak bernasib baik kerana ditimpa musibah. Secara jelasnya,
kedua-dua instrumen ini merupakan satu cara yang moden untuk
memindahkan risiko yang berlaku dan sudah menjadi kebiasaan,
sesuatu ganjaran akan diberi kepada pihak yang sanggup menerima
pemindahan risiko ini.
Objektif Insurans dapatlah
diungkapkan sebagai Golongan ramai yang bernasib baik
membantu golongan yang tidak bernasib baik.
Sememangnya objektif tersebut adalah diiktiraf oleh Islam. Al-Quran
dalam surah al-Maidah, ayat 2, secara terangnya turut menyatakan
galakkan oleh Allah kepada manusia untuk mengamalkan sikap
tolong-menolong, bermaksud:
"Dan hendaklah kamu tolong menolong di atas perkara kebaikan
dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong di atas perkara
dosa dan permusuhan".
|